Saturday, July 21, 2007

Kebetulan atau mistik?

Jika awda membaca segmen Iqra yang saya paparkan pagi tadi, awda pasti akan terbaca pantun saya yang berbunyi:

"Pecah kaca,
pecah gelas;
Lepas baca,
harap balas."

Entri tersebut ditulis pada sebelah pagi hari ini. Namun perkara yang misterinya, awda semestinya sudah tahu bahawa, sekeping dinding kaca di bangunan pentadbiran telah retak. Berikut dikongsikan bersama gambar-gambar yang sempat saya rakam sejurus selepas sebahagian darinya berderai.





Keputusan undian


Umumnya, saya kecewa kerana undian yang dilakukan secara atas talian ini hanya disertai oleh sepuluh orang pelajar sahaja. Namun seperti yang diketahui, pelajar-pelajar Set 2 telah membuang undian semasa kuliah berlangsung. Dari jumlah 19 pengundi dari set tersebut, berikut adalah keputusan yang diperolehi dari set tersebut:




Isnin: 9 undian
Rabu: 4 undian
Khamis: 6 undian




Keputusan muktamad:

Isnin: 11 undian
Rabu: 7 undian
Khamis: 11 undian.

Keputusan: Seri 11 sama (Isnin: 11 dan Khamis: 11)

Sekarang, saya mengumumkan yang awda boleh saya bawa masuk ke Makmal TMK (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) pada Isnin dan Khamis depan, jam 2 hingga 3 petang. Kemudian, jika kedatangan pada Isnin lebih ramai daripada Khamis, Isnin akan dipilih.

Iqra: Edisi Pertama

Mulai hari ini, saya akan sedaya upaya memasukkan hiper pautan berita dalam bahasa Melayu untuk pembacaan awda semua. Saya namakan segmen ini sebagai segmen 'Iqra' agar kita tidak lupa bahawa kalimat 'Iqra' adalah wahyu pertama Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W.

+++

Tanpa menggunakan kemudahan RSS Feeds, berikut adalah tajuk-tajuk berita (bahasa Melayu) dan hiper pautannya untuk bacaan pelajar-pelajar semua. Walau bagaimanapun pada takat ini, sumber berita atas talian yang dimanfaatkan diambil dari negara jiran. Saya harap tidak ada isu yang timbul di sini.

Pecah kaca,
pecah gelas;
Lepas baca,
harap balas.



Berita Harian (http://www.bharian.com.my/)


  1. Tajul Muluk adalah Sains.
  2. Empat Kedai Batal Jual Buku Harry Potter.

Utusan Malaysia (http://www.utusan.com.my/)

  1. Peminat Harry Potter Berkhemah, Kemunculan Diramal Kurang Menyerlah.
  2. Beckham Tangguh Aksi Jumpa Chelsea.
  3. Haneef Cabar Kad SIM Jadi Asas Dakwaan.

Berikut pula disajikan hiper pautan laman-laman web berita tempatan (bahasa Inggeris).

  1. www.brudirect.com
  2. www.ranoadidas.com

Selamat membaca.

Thursday, July 19, 2007

"Comment"

Saya sudah tiadakan 'word verification'. Selamat mengkomen!

Pengumuman: Set 2 dan 3

Salah satu kebaikan blog ini ialah saya boleh mengumumkan sesuatu kepada para pelajar; satu pengumuman yang saya lupa berigakan kepada para pelajar semasa di kelas siang tadi.

Ingin tahu pengumumannya?

Set 2 dan set 3: Tadi awda sudah dikenalkan dengan 4 jenis karangan. Awda juga tahu tentang projek penulisan entri blog. Dari hal yang demikian, tolong sampaikan kepada rakan-rakan awda yang lain (pelajar set 3 dan set 2 sahaja) bahawa semasa kuliah pada Isnin 23.07.2007, awda akan melakukan aktiviti berikut:

1. Secara berkumpulan (kumpulan projek blog), kamu akan memberitahu rakan-rakan lain tentang tajuk tugasan (esei) kamu.
2. Awda akan menerangkan kepada saya dan rakan-rakan tentang isi-isi yang bakal kamu tuliskan dalam esei tersebut.
3. Awda juga akan memberitahu saya dan rakan-rakan lain tentang bagaimana caranya kamu mencari isi tersebut (contohnya temu bual, kajian buku dan sebagainya).
4. Selepas awda mendengar penerangan kumpulan lain, awda dijemput untuk sama ada memberikan idea atau mengajukan soalan terhadap tajuk yang kumpulan lain berikan.

Susunan tempat duduk? Duduk dengan semua pelajar menyusun meja masing-masing agar ia berbentuk sama ada 'U' atau 'O'.

Mudah? Emelkan atau komen di sini jika awda ada sebarang pertanyaan tentang aktiviti ini.

Kita jumpa Isnin, insya Allah.

Nota: Set 6 dengan jayanya sudah melakukan tugas ini tadi. Tahniah!!

Terasul dan KGND (sambungan: edisi ke-3)

Tugasan awda
***

Semenjak dua hari lepas, awda telah disajikan dengan contoh terasul dan kata ganti nama diri ketika bercakap dengan kedua-dua Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Tidak ada tugasan yang disediakan pada kedua-dua entri tersebut. Walau bagaimanapun, ada beberapa pelajar yang 'mahukan' tugasan baharu. Sebagai tugasan pelajar, kali ini diberikan entri baharu. Selamat mencuba!

***

Melalui kemudahan 'komen', pecahkan nama-nama berikut kepada

1. Terasul
2. Gelaran atau pangkat
3. Nama

Caranya seperti berikut.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Contoh jawapan:
1. (Terasul) Kebawah Duli Yang Maha Mulia
2. (Gelaran atau Pangkat) Paduka Seri Baginda Sultan / Sultan dan Yang Di-Pertuan (manakala Negara Brunei Darussalam adalah nama tempat 'bertugas')
(Sultan - Pangkat bagi ayahanda baginda)
3. (Nama) Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.

Contoh jawapan:
1. (Terasul) Kebawah Duli Yang Maha Mulia
2. (Gelaran atau Pangkat) Paduka Seri Baginda Raja Isteri
(Pengiran Pemancha - Pangkat ayahanda baginda)
3. (Nama) Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Anak Haji Mohamed Alam

Berikut, tuliskan jawapan bagi nama-nama berikut:

A. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah
B. Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar.
C. Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin.
D. Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Pehin Dato Dr. Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohammad Taib.
E. Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Pehin Dato Lim Jock Seng
F. Yang Mulia Awang Haji Akbar bin Haji Kassim
G. Tuan Yang Terutama Encik George Yeo
H. Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khairul Khalil bin Pengiran Syed Haji Jaafari.

Terima kasih.

Wednesday, July 18, 2007

Undian awda

Di sebelah atas Papan Kenyataan Blog 9186 ada sebuah kotak undian. Undi untuk memilih hari yang dicadangkan. Masa yang ditetapkan, jam 2 hingga 3 petang.

Selamat membuang undi!

Nota: Undian akan ditutup pada pagi Isnin 23 Julai 2007.

***

Keputusan terbaharu:

Khamis, 19 Julai 2007 pada jam 730 pagi




+++


Keputusan terkini:


Majoriti pelajar (undian atas talian) masih memilih Khamis. Saya akan masukkan undian yang dilakukan semasa kuliah tadi Sabtu ini.




Terasul dan KGND (sambungan)

Contoh ayat jika awda berkesempatan untuk berkomunikasi dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Bagina Raja Isteri:

Jika awda bukan golongan Pengiran
  • "Ampun beribu ampun, hamba Kebawah Duli Tuan Patik menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke sekolah ini."

Jika awda golongan Pengiran (lelaki/perempuan)
  • "Ampun beribu ampun, Patik menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke sekolah ini."

Frasa 'ampun beribu ampun' adalah frasa yang dipanggil 'Pembungkus Kalimat' yang biasanya dituturkan di awal dan di akhir sesuatu ayat yang diujarkan (sesuai dengan namanya pembungkus kalimat)

  • Penggunaannya untuk kedua-dua Kebawah Duli Yang Maha Mulia sahaja.
Dalam bahasa seharian dan apabila bercakap dengan orang biasa (bukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia), kedua-dua ayat di atas membawa maksud yang sama seperti ayat:

"Saya mengucapkan terima kasih atas lawatan awda ke sekolah ini."

Dipetik dari 'Terasul dan Bahasa Pengganti Diri "Bahasa Dalam"' oleh Haji Abdul Manaf @ Muhd Zulfikri bin Haji Japar.

Tuesday, July 17, 2007

Terasul dan KGND

Hari ini, saya gantikan segmen Sehari Sepatah Kata dengan segmen terasul dan bahasa dalam, iaitu bersesuaian dengan suasana Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-61.

Terlebih dahulu, terasul bermaksud:

(Kamus Dewan Edisi Ketiga, 1996:1430)
surat-menyurat; ilmu ~: ilmu yang mengenai surat-menyurat; kitab ~ kitab yang mengandungi peraturan surat-menyurat

Menurut Haji Abdul Manaf @ Muhd. Zulfikri bin Haji Japar (Pegawai Adat Istiadat di Jabatan Adat Istiadat, terasul ialah

'gabungan nama atau susunan perkataan yang indah dan mulia bunyinya yang dahulu disebut sebelum menyebut nama gelaran (jika ada) kemudian diikuti oleh nama sebenar seseorang'.
  • Terasul = kata majmuk.

    Contohnya seperti berikut:

    Yang Mulia Awang...
    Yang Dimuliakan Pehin...

    Frasa yang digarisbawahi tersebut adalah contoh terasul.

    Tujuan meletakkan terasul di pangkal nama adalah

    'sebagai memuliakan dan memberikan penghormatan kepada seseorang.'

Contoh terasul yang lain:

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri

Dalam penulisan karangan, terasul Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan misalnya, walaupun boleh dibilang sebagai lima patah perkataan, hendaklah dikira sebagai satu unit atau satu kata.

...

Kata Ganti Nama Diri Orang Pertama ketika berkomunikasi dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.

Jika pelajar-pelajar berkesempatan untuk berkomunikasi dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri, adalah lebih beradab jika pelajar-pelajar mendahulukan pengucapan dengan:

1. Bukan golongan Pengiran:

  • Ampun beribu ampun, Hamba Kebawah Duli Tuan Patik
  • Kebawah Duli Tuan Patik

2. Pengiran Lelaki/Perempuan


  • Patik
  • Duli Tuan Patik

Nota untuk pelajar:


  • Patik dan Hamba Kebawah Duli Tuan Patik (sama maksudnya dengan kata ganti diri 'saya')
  • Duli Tuan Patik dan Kebawah Duli Tuan Patik (sama maksudnya dengan kata ganti diri 'awak')

Dipetik dari:

Kertas kerja bertajuk: Terasul dan Bahasa Pengganti Diri "Bahasa Dalam" oleh Haji Abdul Manaf @ Muhd Zulfikri bin Haji Japar, Pegawai Adat Istiadat.

Aturcara Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat 2007

Berikut saya kongsikan tarikh-tarikh Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat sempena sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-61 tahun.







Daerah Temburong:
Selasa, 17 Julai 2007 bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Temburong.






Daerah Tutong:
Khamis, 19 Julai 2007 bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.






Daerah Belait:
Sabtu, 21 Julai 2007 bertempat di Taman Jubli, Jalan Maulana, Kuala Belait.






Daerah Brunei dan Muara:
Ahad, 22 Julai 2007 bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saiffudien, Bandar Seri Begawan.




Sumber: www.rtb.gov.bn

Masih lagi keliru?

Selamat pagi.

Nampaknya masih ramai pelajar yang keliru tentang tugasan atas talian yang disediakan. Berikut ini adalah senarai entri yang perlu dikomen oleh para pelajar:


  1. Projek Blog 9186 (Sila berikan pendapat kamu tentang projek ini: Setuju? Ada bantahan? Cadangan?).
  2. Enakmen Kehadiran ke Sekolah 1929.
  3. Homofon dan Homograf (Berikan contoh)
  4. Apa sudah jadi? (Sediakan ayat yang sepatutnya tertulis).
  5. Cadangan pelajar (Agar laman blog ini lebih mesra pelajar dan menarik).

Saya ucapkan terima kasih kepada para pelajar yang sudah memberikan komen yang serius. Kepada yang lain, sila berikan komen awda sebelum pemberian markah ditutup.

Saturday, July 14, 2007

Kekeliruan tentang tugasan

hayana_set6 said...
hayana_set6: adakah semua tugasan yang diberi melalui blog ini, dihantar melalui cikgu di kelas atau dari sistem komputer ini sendiri? kpd cikgu, saya harap cikgu dapat menjawab pertanyaan saya samada didalam kelas ataupun melalui email saya secepat mungkin. kerana kami akan cuba sedaya upaya kami untuk menyiapkan tugasan yang di beri secepat mungkin... (terdapat kekeliruan bagi saya dalam tugasan itu) harap maaf..
July 14, 2007 8:12 AM




Terima kasih.

Tugasan kamu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu manual dan atas talian; kedua-duanya sama penting.

1. Tugasan manual.
Tugasan jenis ini berupa tugasan yang saya berikan semasa kuliah berlangsung. Setakat ini saya sudah berikan tugasan berupa 'terjemahan' dan Set 6 (kalau saya tidak silap) karangan bertajuk 'Web log: keberkesanannya dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu' (Set-set lain akan saya berikan tajuk yang sama pada minggu hadapan). Tugasan ketiga pula 'Projek Blog' (menulis esei untuk dijadikan entri Blog 9186).

Kedua-dua tugasan pertama ini memerlukan awda menulisnya dan menghantarnya secara tradisional: menggunakan pen dan kertas. Ia dihantarkan kepada saya secara biasa dan pada tarikh-tarikh yang ditetapkan. Semua pelajar (kecuali yang tidak hadir) diminta menghantarkan tugasan ini. Tugasan ketiga pula, awda diberikan masa yang cukup untuk menghasilkan tugasan tersebut (dan tugasan ini tidak ada pengecualian).

2. Tugasan atas talian.
Tugasan ini berupa tugasan yang dibuat melalui pautan komen pada satu-satu entri di Blog 9186. Walau bagaimanapun, tugasan ini mempunyai batasannya. Pelajar-pelajar yang mempunyai akses kepada internet sahaja yang sebaiknya mengikuti tugasan ini. Namun, pelajar-pelajar yang aktif akan mendapat markah (asalkan nama dan set pengkomen tertulis).

Untuk tugasan atas talian, awda juga (sama seperti tugasan manual) diarahkan untuk menulis dengan bahasa Melayu yang betul (sama ada ejaan, tatabahasa ataupun cara penyampaiannya). Markah akan diberikan kepada pelajar yang aktif mengkomen namun komen yang serius bahasanya dan isinya sahaja yang akan dikira.

Kenapa Blog?
Pembelajaran, lebih-lebih lagi di peringkat tinggi seperti PTEB, tidak semestinya hanya berlaku di dalam kelas. Saya, dan beberapa pensyarah lain, mendapati antara kelemahan pelajar-pelajar ialah:

1. Bahasa (ejaan, tatabahasa dan penggunaan tanda baca kerap salah).
2. Kurangnya pembacaan luar (Pelajar Bahasa Melayu, baik di peringkat universiti, kebanyakannya kurang membaca. Esei terbaik yang dihasilkan biasanya berupa ide-ide andaian dan bukannya fakta yang didapati dari pembacaan luar bilik darjah).

Dengan adanya projek blog ini, pelajar-pelajar diharapkan untuk dapat memanfaatkan kemudahan internet (jika ada) untuk mendapatkan bahan bacaan (melalui entri yang diberikan). Namun keterbatasannya pada tahap ini adalah hanya pelajar yang mempunyai komputer yang boleh mengakses maklumat yang dipaparkan dalam blog ini.

Agar jurang keterbatasan ini dapat dikecilkan, saya akan berunding dengan pihak tertentu untuk meminjam Makmal ICT PTE Berakas pada waktu petang iaitu sekali seminggu (pelajar-pelajar Set 2, 3 dan 6 berkongsi masa). Jika diluluskan, saya akan membawa pelajar-pelajar yang bermotivasi untuk melakukan tugasan atas talian pada waktu tersebut. Walau bagaimanapun, masa yang difikirkan adalah selepas jam 2 petang dan selama satu jam.

Akhir kata, saya dengan harapan yang besar ingin melihat pelajar-pelajar berpeluang untuk menyertai aktiviti dalam Projek Blog ini sebagai satu aktiviti sampingan sebelum pelajar-pelajar melangkah ke alam universiti atau pekerjaan. Jika ada sebarang ide ataupun pendapat, jangan ragu-ragu untuk bertanyakannya di sini ataupun langsung berjumpa saya. Terima kasih sekali lagi saya rakamkan buat Hayana_Set6 atas keraguan yang dikemukakannya.

Ringkasnya:
. Tugasan ada dua, 1. Manual dan 2. Atas talian.
. Gunakan bahasa yang betul dalam tugasan.
. Jika diluluskan, pelajar akan diberikan waktu satu jam seminggu untuk menggunakan komputer pada waktu petang.



Nota: Saya mendapati ramai pelajar yang masih belum memberikan komen. Perkara ini, salah satunya, mungkin disebabkan oleh entri yang saya masukkan bertalu-talu. Dari hal yang demikian, saya sedaya upaya akan mengurangkan kemasukan supaya pelajar boleh 'mengejar' aktiviti yang disediakan. : )

Rapakan sembah


Sempena suasana sambutan Hari Keputeraan ke-61 pada tahun ini, pelajar-pelajar diberikan peluang untuk menggunakan ruangan komen (di entri ini) untuk merapakkan sembah ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Caranya, tinggalkan nama dan dari set berapa. Kemudian tuliskan ayat di bawah ini.

Dirgahayu Kebawah Duli Tuan Patik!

Sehari Sepatah Kata #7

Beberapa entri mendatang (iaitu di segmen SSK ini) akan berkaitan dengan suasana perayaan yang kita raikan pada masa ini.

dirgahayu
(mudah-mudahan) lanjut usia; berumur panjang (biasanya ditujukan kepada raja, negara, atau organisasi yang sedang memperingati hari jadinya): ~ Kebawah Duli Tuan Patik; ~ Republik Indonesia.

Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003:617)



dirgahayu
(mudah-mudahan) lanjut usia, panjang umur.

Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996:307)

Bacaan lanjut:Klik sini untuk membaca blog dalam bahasa Inggeris yang ditulis oleh Mr Brunei Resources pada 19.Julai.2006.

Thursday, July 12, 2007

Contoh Blog

Contoh Laman Blog

Maaf, saya hampir terlupa. Berikut adalah laman-laman blog yang saya paparkan tadi semasa kuliah. Awda juga boleh mencari laman blog tempatan yang sesuai dengan awda (mungkin sesuai bagi projek penulisan entri blog awda) di laman web Simpur Blogging Nation.

George Yeo (Menteri Hal Ehwal Luar Repulik Singapura) Jeff Ooi (Pemblog Malaysia) Afdlin Shauki (Selebriti) Catriona Ross (Selebriti) Ranoadidas (Pemblog berita terkenal tempatan) Maurina (Mahasiswi UBD) Sultan Muzaffar (Pemblog Malaysia) Healing Iraq (Berita dari Iraq) Brunei Resources (Pemblog prolifik tempatan) Cuboi (Kartunis berbakat tempatan) Simpur Blogging Nation (Direktori pemblog tempatan) Technorati (Enjin pencari blog) Google Blog Search (Enjin pencari blog)

co.nr atau blogspot.com?

Ada beberapa pelajar yang cuba untuk memberikan komen melalui 9186.co.nr. Setakat ini didapati bahawa percubaan untuk mengkomen melalui alamat tersebut tidak berjaya (word verification tidak tertera).

Oleh hal yang demikian, dimaklumkan kepada para pelajar agar dapat menggunakan alamat 9186.blogspot.com dan bukannya 9186.co.nr sehingga masalah tersebut dapat diatasi.

Sekian. Terima kasih

9186.blogspot.com

PROJEK BLOG 9186

Tugasan baharu:

Seperti yang diterangkan dalam kuliah pagi tadi, awda diminta menubuhkan beberapa kumpulan: antara dua atau tiga orang dalam satu kumpulan dan setiap seorang dari awda hanya dibenarkan menyertai satu kumpulan. Setiap kumpulan ini akan menyumbang satu entri blog sepanjang antara 300 ke 500 patah perkataan. Kemudian cari satu bidang kajian yang disepakati oleh semua ahli dalam kumpulan awda. Hasil tulisan awda boleh saja berupa artikel santai mahupun artikel yang lebih serius dan profesional.

Tulisan awda (dalam seminggu 3 atau 5 hasil tulisan pelajar) akan disiarkan dalam blog insya Allah mulai awal Ogos 2007. Justeru itu, hantarkan nama ahli dalam kumpulan kamu (beserta nama kumpulan) ke emel 9186.01@gmail.com selewat-lewatnya Khamis 19.07.2007.

Berikut diberikan beberapa bayangan tentang isi ringkas tulisan yang akan awda hasilkan.

Contoh pertama: Katakan awda memilih bidang sukan Formula One dan ingin menulis tentang sukan tersebut, awda hendaklah secara berkumpulan mengupas maklumat (sama ada melalui buku, majalah ataupun mencarinya di laman-laman web) mengenai perkara-perkara berikut:

1. Bagaimana dan bila ia bermula?
2. Di litar manakah Formula One mula beraksi?
3. Pasukan-pasukan apakah yang menyertai perlumbaan Formula One yang pertama?
4. Bagaimanakah sistem pemarkahannya dahulu dan sekarang?
5. Apakah peristiwa penting yang harus diketahui mengenai sukan permotoran tersebut?
6. Apakah faedahnya sukan ini kepada peminat, pembalap, dunia dan Brunei Darussalam?

Awda juga disarankan untuk membuat kajian terhadap pelajar-pelajar PTE Berakas iaitu dengan mengkaji berapa ramai yang meminati sukan ini; pasukan manakah yang paling ramai digemari atau disokong; adakah persamaan atau perbezaan di kalangan peminat lelaki dan perempuan; dan apakah harapan pelajar-pelajar PTE Berakas terhadap sukan ini pada masa akan datang.

Contoh kedua: Kajian terhadap rangkaian radio kesukaan pelajar-pelajar PTE Berakas.
Maklumat yang mungkin dicari ialah:
1. Sejarah penyiaran radio di Brunei (Radio Brunei, Capital FM, Capital Gold, Kristal FM).
2. Waktu siaran dahulu dan sekarang.
3. Jenis-jenis rangkaian radio yang dapat diterima oleh pendengar di Brunei sekarang.
4. Rangkaian dari luar negeri (negeri jiran).
5. Contoh radio di laman web.
6. Jenis-jenis segmen yang terdapat pada setiap rangkaian.
7. Rangkaian manakah yang paling digemari oleh pelajar-pelajar PTE Berakas.
8. Penyiar radio / juruhebah yang paling diminati pelajar-pelajar PTE Berakas.
9. Bilakah waktu pelajar-pelajar PTE Berakas mendengar radio (pagi sebelum ke sekolah, tengah hari, petang, malam, atau subuh?
10. Hasil temu bual bersama beberapa pelajar tentang pendapat mereka mengenai faedah mendengar radio.

Contoh ketiga: Ulasan terhadap satu atau lebih wayang gambar yang baru awda tontoni atau yang paling diminati oleh pelajar-pelajar PTE Berakas.

1. Plot.
2. Watak dan perwatakan.
3. Maklumat tentang pengarah, pelakon dan penerbit.
4. Pendapat awda mengenai cerita dan sinematografinya.
5. Pendapat pelajar-pelajar lain mengenai wayang gambar tersebut.
6. Jika awda membandingkan dua wayang gambar, tulis persamaan atau perbezaan kedua-duanya.

Contoh keempat: Tahap kebersihan di dalam dan di persekitaran sekolah awda. Awda dan ahli kumpulan awda akan memantau dan merekodkan tahap kebersihan di kawasan terbabit. Kemudian awda juga akan mengulas tentang kegiatan yang dilakukan untuk memastikan kawasan tersebut bersih. Awda juga akan mengkaji adakah jumlah pembersih mencukupi. Begitu juga dengan jumlah tong sampah: cukup atau tidak? Awda juga akan menulis pendapat rakan-rakan lain tentang subjek tersebut.

Contoh kelima: Angka kemalangan jalan raya boleh dikurangkan. (Tajuk ini memerlukan awda untuk membuat penyelidikan di luar sekolah: berjumpa dan menemu bual dengan pihak-pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Darat; Polis DiRaja Brunei; Jabatan Kerja Raya dan sebagainya)

Perkara yang mesti awda ingat sebelum dan semasa melakukan tugasan ini (antaranya):

1. Tugasan ini mesti dilakukan secara berkumpulan (tidak ada ahli yang bergoyang kaki – jika ada, laporkannya segera kepada guru awda).
2. Pastikan awda tidak mencedok hasil tulisan orang lain (jangan copy & paste tulisan orang lain).
3. Tulis dalam bahasa Melayu yang baku (ejaan, ayat dan perenggan yang betul).
4. Awda diminta untuk berunding dengan guru awda tentang tajuk esei awda.

Perkara penting:
  • Seorang pelajar mesti menganggotai satu kumpulan.
  • Setiap kumpulan tidak boleh kurang 2 orang dan tidak boleh lebih 4 orang.
  • Undian akan dilakukan bagi menetapkan penulisan siapa yang akan diterbitkan dulu.
  • Penerbitan bermula awal Ogos.
  • Tidak ada pencedokan berlaku.
  • Tulis dalam bahasa Melayu baku.
  • Nama kumpulan hendaklah dari produk tempatan.

Sehari Sepatah Kata #6


Selamat pagi. Segmen sehari sepatah kata kita hari ini ada kaitannya dengan entri kelmarin iaitu 'sekular'.


sekular (sebutannya sékular atau 'say'-kular)

berkaitan dengan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan dengan keagamaan:

Contoh ayat: Islam tidak mengiktiraf pemisahan kehidupan agama dengan kehidupan ~;

pendidikan ~: pendidikan yang memberikan pelajaran atau pengetahuan yang bukan bersifat atau berkaitan dengan keagamaan.


mensekularkan

menjadikan sesuatu (sistem, fahaman, dan lain-lain) bersifat sekular: orientalis Barat cenderung untuk ~ sistem perundangan Islam;


kesekularan

keadaan sekular;


pensekularan

proses mengubah nilai-nilai keluhuran keagamaan kepada nilai kehidupan duniawi, sekularisasi.


sekularis

orang yang menganut fahaman sekular;


sekularisasi

pensekularan.


sekularisme (sebutannya sékularisme - vokal 'e' dalam 'me' sama sebutannya dengan 'e' dalam 'Berakas')

faham (doktrin, pendirian dan sebagainya) yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia.


sekularistik

bersifat (mengamalkan) sekularisme:

Contoh ayat: Apa jua bentuk pemisahan dan pembelaan, kedua-duanya akan melahirkan sikap ~.


Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996:1213)

Wednesday, July 11, 2007

Sehari sepatah kata #5

enakmen
undang-undang atau statut.

Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996:337)

Enakmen Kehadiran ke Sekolah 1929




Sebelum zaman beresiden, kanak-kanak Brunei belajar di sekolah-sekolah pondok (seperti di masjid-masjid, di balai-balai ibadat atau di rumah-rumah bijak pandai) dan hanya belajar pengetahuan agama Islam dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Kemudian, pada awal kurun ke-20, iaitu setelah Brunei menerima residen pertamanya dalam tahun 1906 (di bawah perjanjian dengan pihak British pada 3 Disember 1905 dan 2 Januari 1906), Brunei mula membina sekolah formal pertama di Bandar Brunei.



Sekolah ini ditubuhkan untuk menyediakan sumber manusia tempatan yang tahu membaca dan menulis rumi agar setelah tamat pengajian nanti boleh berkhidmat dalam pentadbiran residen sebagai pegawai-pegawai atau kakitangan bahagian rendah. Matlamat lain adalah untuk mengurangkan dan akhir sekali menghapuskan kadar buta huruf rumi di kalangan warga Brunei yang pada waktu tersebut, sebahagiannya, hanya boleh celik jawi sahaja. Di samping itu, pihak residen juga merancang untuk menjadikan masyarakat Brunei sebuah masyarakat sekular dengan memasukkan unsur sekularisme dalam sistem pendidikan yang diberikan.



Antara mata pelajaran yang diajarkan pada masa tersebut ialah Kira-kira, Sains, Sejarah dan Ilmu Alam. Mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam tidak diajarkan namun kanak-kanak Brunei belajar tentang hal ehwal keagamaan melalui sekolah-sekolah pondok seperti sebelumnya.



Walau bagaimanapun, terdapat segelintir ibu bapa yang sangsi terhadap niat pihak Residen menubuhkan sekolah umum ini. Hasilnya, sambutan yang diterima oleh sekolah yang dibukakan hambar. Justeru itu, tanpa berputus asa, pihak pentadbiran Residen menguatkuasakan sebuah enakmen yang dinamakan 'The School Attendance Enactment' melalui State Council pada tahun 1929.



Enakmen Kehadiran ke Sekolah 1929



Enakmen ini mewajibkan ibu bapa, yang tinggal dalam persekitaran dua batu dari sekolah, untuk menyekolahkan anak-anak mereka yang berumur 7 hingga 14 tahun di sekolah umum. Melalui enakmen ini juga, ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah umum akan didenda. Jumlahnya? Bergantung kepada tahap kesalahan: serendah $0.50 (lima puluh sen) ke $1.00 (seringgit) atau lebih. Dari hal tersebut, keramaian pelajar direkodkan meningkat.



Pada tahun 1939, enakmen ini diberikan nafas baharu: ia diperluaskan ke kawasan Belait. Melalui enakmen tahun 1939 ini, mana-mana ibu bapa yang tinggal dalam kawasan dua batu dari sekolah akan didenda tidak lebih $5.00 (lima ringgit) atau dipenjara selama 14 hari.



TUGASAN:

(Orang awam? Sila baca nota di bawah)


Pada masa sekarang, ibu bapa sudah berfikiran terbuka dan sudah mula mengamalkan budaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Namun, apa yang menyedihkan, kita sering kali mendengar (dan guru-guru biasanya menghadapi masalah) anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah atau tuang (ponteng) kelas. Tuliskan dengan ringkas apakah perkara yang boleh menyebabkan perkara ini terjadi (guru menjemukan? pelajar tidak ada motivasi untuk belajar? Pelajar yang tuang kelas berhadapan dengan masalah peribadi?) Untuk membendung gejala ponteng kelas ini, berikan juga pendapat kamu (dan huraikannya) tentang perkara berikut:



  1. Enakmen ini perlu dikuatkuasakan lagi (ibu bapa didenda atau dipenjara gara-gara anaknya ponteng kelas).


  2. Enakmen ini dikuatkuasakan tapi diberikan perubahan (pelajar yang ponteng didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali).


  3. Tidak perlu dikuatkuasakan tapi cari pendekatan alternatif.


Nota untuk orang awam: Tugasan ini hanya untuk pelajar-pelajar 9186 yang terlibat. Orang awam yang ingin memberikan pendapat dialu-alukan untuk berbuat demikian dengan menghantarkan pendapat awda ke alamat emel:
9186.01@gmail.com. Jika awda dapati perkara ini sensitif untuk dibincangkan, awda boleh tuliskan bantahan atau komen awda ke alamat emel tersebut.



Penghargaan: Artikel ini disesuaikan dari kertas kerja tulisan Pg Dr Hj Abu Bakar Pg Hj Sarifuddin (tenaga akademik di Jabatan Pendidikan Sastera dan Sains Sosial, UBD) yang dibentangkan beliau di Kalimantan baru-baru ini bertajuk 'Transformasi Sosial Masyarakat Brunei di Bidang Pendidikan daripada Zaman Residen ke Zaman Berkerajaan Sendiri".