Saturday, July 7, 2007

Sehari sepatah kata #2

literasi
BM kebolehan (kemampuan) menulis dan membaca; celik huruf; keberaksaraan I;
~ komputer tahu menggunakan dan mengendalikan komputer.

Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003:1632)

Entri Kedua: FAQ: Projek Blog 9186.01



Kenapa blog?

Kajian dan pengamatan membuktikan, penglibatan pelajar dalam pemakaian laman blog (yang baik) membantu para pelajar untuk mahir berbahasa (khususnya kemahiran menulis dan membaca). Selain hal tersebut, pelajar yang menulis komen atau menyumbangkan entri akan belajar untuk bertanggungjawab terhadap hasil yang ditulisnya. Dengan kata lain, blog adalah perkakasan 'baharu' dalam suasana pendidikan maya alaf ini.

Bila bermula?
Laman blog ini akan mula digunakan oleh para pelajar seawalnya Isnin, 09.07.2007.

Siapa yang terlibat?
Seramai lebih kurang 70 pelajar dan seorang tenaga pengajar (TP) PTEB terlibat secara langsung dalam penyelenggaraan laman blog ini. Walau bagaimanapun, orang awam, khususnya para pelajar, boleh mengemukakan komen (teguran, kritikan, atau pendapat) membina bagi memantapkan lagi entri yang diutarakan. Komen yang disumbangkan sebisainya sopan dan ditulis dengan bahasa Melayu baku.

Apakah peranan TP?
Pada tahap permulaan ini, TP tersebut, selain menyumbang entri, akan mengawal selia entri yang akan disumbangkan oleh para pelajar kursus ini. TP juga akan menyemak wacana yang hendak dipaparkan di samping ikut serta dalam aktiviti yang disediakan.

Apakah peranan pelajar?
Pelajar-pelajar akan diarahkan untuk secara aktif:
  1. mengkomen bahan yang disajikan;
  2. mengajukan soalan-soalan (boleh saja berkait dengan isi pelajaran, bahan sajian mahupun kegiatan harian awda);
  3. menjawab soalan-soalan yang diajukan sama ada oleh rakan-rakan, orang awam ataupun TP;
  4. menghantar kerja rumah melalui emel atau ruangan komen;
  5. menyumbang entri;
  6. menuliskan contoh ayat bagi perkataan atau frasa baharu yang disajikan;
  7. berkomunikasi (berbincang) dengan rakan-rakan tentang tugasan atau permasalahan bahasa yang timbul;
  8. berkongsi maklumat atau berita terkini dengan pembaca blog;
  9. menyumbangkan gambar-gambar digital (yang dihantar melalui TP);
  10. dan memanfaatkan laman blog ini sebagai satu ruang untuk menambah pengetahuan dan kemahiran berbahasa.
Namun demikian, peranan TP dijangka akan berkurangan sedikit demi sedikit dan insya Allah peranannya akan digantikan oleh pelajar.

Nota untuk pelajar: Awda dilarang untuk menyalin dan menempatkan (copy and paste) mana-mana tulisan yang bukan awda hasilkan sendiri (contohnya: berita, sajak dan seumpamanya. Sila tanyakan guru awda mengenai perkara ini). Awda bertanggungjawab terhadap segala yang awda tulis di laman ini.

Apakah peranan orang awam?
Orang awam, selain boleh memberikan komen, akan dijemput untuk menjadi blogger jemputan. Kepada sesiapa yang berminat, awda dinasihatkan untuk menghubungi penyelenggara laman blog ini di alamat emel penyelenggara.

Selain penulisan, orang awam juga boleh menyumbang gambar-gambar dalam bentuk digital yang ingin dikongsikan bersama pembaca-pembaca lain, khususnya para pelajar terlibat.

Pada masa ini, pengguna-pengguna yang berminat boleh menyertai Projek Blog ini tanpa sebarang kata laluan (password). Walau bagaimanapun, jika keadaan mendesak, laman blog ini akan dikunci dan hanya akan dikhususkan untuk pelajar-pelajar/pengguna berdaftar.

Bahasa pengantar?
Idealnya, bahasa yang digunakan adalah bahasa Melayu baku. Namun pada takat ini, bahasa Inggeris dan dialek Melayu Brunei boleh digunakan. Pengguna-pengguna juga diperingatkan agar menyumbang bahan/idea dengan bahasa yang sopan.

Petua (tips): Gunakan bahasa yang bersahaja dan pentingkan perkara berikut:
  1. Ejaan sebaiknya betul.
  2. Ia mudah difahami.
  3. Elakkan ayat yang panjang lebar.

Awda ada cadangan?
Jika awda ingin mencadangkan sesuatu secara peribadi, sila hantarkannya di alamat emel penyelenggara.

Hubungi kami.
Awda dialu-alukan untuk memberikan sebarang ide, cadangan, aduan atau pertanyaan tentang Projek Blog ini dengan mengemel penyelenggara di:



Akhir kata, selamat menggunakan dan memanfaatkan laman blog ini.

Thursday, July 5, 2007

Sehari sepatah kata #1

hablur
1
benda keras yang hening (bening) seperti kaca; kristal: lensa ~;
2 kimia a BM bahan dalam bentuk yang mempunyai susunan atom dalaman yang berulangan secara tetap dan mempunyai muka satah luaran yang tersusun secara tetap; b I bentuk lazim bahan pejal (zat padat) yang mempunyai bentuk dan bidang belah yang khas oleh penataan atom di dalamnya dengan pola tertentu yang disebut kisi;
3 kiasan sesuatu yang tampak bening berkilau (tentang mata); bersinar-sinar: gadis itu bermata ~.

Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003:869)

Entri Pertama: Selamat Datang

Assalamualaikum dan Selamat Datang.

Bismillahirahmanirahim.

Laman blog ini diwujudkan khusus buat pelajar-pelajar kursus 9186/01 di PTEB. Mudah-mudahan matlamatnya untuk menjadikan blog ini sebagai satu saluran perbincangan dan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di luar bilik kuliah menjadi satu kejayaan.

Lebih kurang seramai 70 orang pelajar kursus ini; iaitu pelajar-pelajar Pra-Universiti 1 Set 2, Set 3 dan Set 6; akan berusaha untuk memanfaatkan wahana ini sebaiknya. Laman blog ini juga secara tidak langsung akan menjadi laman web kelas bagi pelajar-pelajar terbabit. Selain daripada itu. insya Allah, blog ini akan memuatkan beberapa bahagian, kesemuanya untuk dikomen oleh para pelajar. Antara bahagiannya:
  1. Sehari serangkai frasa / Sehari sepatah kata.
  2. Peribahasa minggu ini.
  3. Bahasa Dalam dan Terasul (Brunei).
  4. Isu bahasa.
  5. Berita semasa.
  6. Kerja rumah.
  7. Photoblogging.
Sehingga entri seterusnya, terima kasih.