Wednesday, July 11, 2007

Enakmen Kehadiran ke Sekolah 1929




Sebelum zaman beresiden, kanak-kanak Brunei belajar di sekolah-sekolah pondok (seperti di masjid-masjid, di balai-balai ibadat atau di rumah-rumah bijak pandai) dan hanya belajar pengetahuan agama Islam dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Kemudian, pada awal kurun ke-20, iaitu setelah Brunei menerima residen pertamanya dalam tahun 1906 (di bawah perjanjian dengan pihak British pada 3 Disember 1905 dan 2 Januari 1906), Brunei mula membina sekolah formal pertama di Bandar Brunei.



Sekolah ini ditubuhkan untuk menyediakan sumber manusia tempatan yang tahu membaca dan menulis rumi agar setelah tamat pengajian nanti boleh berkhidmat dalam pentadbiran residen sebagai pegawai-pegawai atau kakitangan bahagian rendah. Matlamat lain adalah untuk mengurangkan dan akhir sekali menghapuskan kadar buta huruf rumi di kalangan warga Brunei yang pada waktu tersebut, sebahagiannya, hanya boleh celik jawi sahaja. Di samping itu, pihak residen juga merancang untuk menjadikan masyarakat Brunei sebuah masyarakat sekular dengan memasukkan unsur sekularisme dalam sistem pendidikan yang diberikan.



Antara mata pelajaran yang diajarkan pada masa tersebut ialah Kira-kira, Sains, Sejarah dan Ilmu Alam. Mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam tidak diajarkan namun kanak-kanak Brunei belajar tentang hal ehwal keagamaan melalui sekolah-sekolah pondok seperti sebelumnya.



Walau bagaimanapun, terdapat segelintir ibu bapa yang sangsi terhadap niat pihak Residen menubuhkan sekolah umum ini. Hasilnya, sambutan yang diterima oleh sekolah yang dibukakan hambar. Justeru itu, tanpa berputus asa, pihak pentadbiran Residen menguatkuasakan sebuah enakmen yang dinamakan 'The School Attendance Enactment' melalui State Council pada tahun 1929.



Enakmen Kehadiran ke Sekolah 1929



Enakmen ini mewajibkan ibu bapa, yang tinggal dalam persekitaran dua batu dari sekolah, untuk menyekolahkan anak-anak mereka yang berumur 7 hingga 14 tahun di sekolah umum. Melalui enakmen ini juga, ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah umum akan didenda. Jumlahnya? Bergantung kepada tahap kesalahan: serendah $0.50 (lima puluh sen) ke $1.00 (seringgit) atau lebih. Dari hal tersebut, keramaian pelajar direkodkan meningkat.



Pada tahun 1939, enakmen ini diberikan nafas baharu: ia diperluaskan ke kawasan Belait. Melalui enakmen tahun 1939 ini, mana-mana ibu bapa yang tinggal dalam kawasan dua batu dari sekolah akan didenda tidak lebih $5.00 (lima ringgit) atau dipenjara selama 14 hari.



TUGASAN:

(Orang awam? Sila baca nota di bawah)


Pada masa sekarang, ibu bapa sudah berfikiran terbuka dan sudah mula mengamalkan budaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Namun, apa yang menyedihkan, kita sering kali mendengar (dan guru-guru biasanya menghadapi masalah) anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah atau tuang (ponteng) kelas. Tuliskan dengan ringkas apakah perkara yang boleh menyebabkan perkara ini terjadi (guru menjemukan? pelajar tidak ada motivasi untuk belajar? Pelajar yang tuang kelas berhadapan dengan masalah peribadi?) Untuk membendung gejala ponteng kelas ini, berikan juga pendapat kamu (dan huraikannya) tentang perkara berikut:



  1. Enakmen ini perlu dikuatkuasakan lagi (ibu bapa didenda atau dipenjara gara-gara anaknya ponteng kelas).


  2. Enakmen ini dikuatkuasakan tapi diberikan perubahan (pelajar yang ponteng didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali).


  3. Tidak perlu dikuatkuasakan tapi cari pendekatan alternatif.


Nota untuk orang awam: Tugasan ini hanya untuk pelajar-pelajar 9186 yang terlibat. Orang awam yang ingin memberikan pendapat dialu-alukan untuk berbuat demikian dengan menghantarkan pendapat awda ke alamat emel:
9186.01@gmail.com. Jika awda dapati perkara ini sensitif untuk dibincangkan, awda boleh tuliskan bantahan atau komen awda ke alamat emel tersebut.



Penghargaan: Artikel ini disesuaikan dari kertas kerja tulisan Pg Dr Hj Abu Bakar Pg Hj Sarifuddin (tenaga akademik di Jabatan Pendidikan Sastera dan Sains Sosial, UBD) yang dibentangkan beliau di Kalimantan baru-baru ini bertajuk 'Transformasi Sosial Masyarakat Brunei di Bidang Pendidikan daripada Zaman Residen ke Zaman Berkerajaan Sendiri".

2 comments:

Anonymous said...

Perkara yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah :
1. Tiada minat untuk belajar.
2. Terpengaruh oleh rakan-rakan sebaya.
3. Merasa terkongkong.
4. Suasana yang menyebabkan penuntut tersebut merasa bosan dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran yang diajar oleh gurunya.
5. Masalah sosial

Anonymous said...

Penyebab-penyebab, selain daripada apa yang dikomen oleh bunai_271, yang membuatkan pelajar-pelajar ponteng dari kelas/sekolah adalah seperti berikut:

. Kerana pelajar telah jemu dengan suasana belajar.

. Sebilangan TP yang pada awalnya tidak endahkan bahan-bahan belajar pada awal tahun tetapi menyalahkan murid-muridnya apabila nazir/pegawai memeriksa kelas tersebut.

. Pelajar-pelajar yang membenci seseorang TP yang mempunyai sifat "manja" ataupun merajuk atau lebih dasyat pemarah hanya kerana hal yang remeh-temeh.

. Dan, bagi sesetengah pelajar, TP yang tidak endahkan akan kerja yang disiapkan oleh pelajar tersebut.

Walau bagaimanapun alasan-alasan diatas tidak sepatutnya menganggu pelajaran.

Pada pendapat saya enakmen tersebut boleh dikuatkuasakan tetapi kepada pelajar-pelajar tersebut kerana mereka yang membuat PILIHAN. Walau entiti lain, kawan-kawan, yang menghasut mereka dapat membuat pilihan antara memasuki kelas tersebut ataupun tidak. Ibubapa tidak ada kena mengena dalam hal ini. Seperti yang kita ketahui pelajar-pelajar didalam tingkatan 6 SEPATUTNYA berfikiran matang, bukan ikut perasaan.