Wednesday, November 7, 2007

Teori Hujah dalam Karangan

Gambar ini saya dapati daripada laman ini.

Anda sudah belajar tentang bagaimana menulis perenggan yang mantap. Teori dan rumus yang saya ajarkan itu boleh dikenali sebagai teori hujah dalam karangan.

Karangan: Cinta warga remaja.

Karangan ini akan menceritakan pendapat anda tentang REMAJA yang PERLU bercinta (anda cuba menangkis pendapat yang REMAJA TIDAK BOLEH BERCINTA). Oleh itu, anda harus menegaskan cinta yang bagaimana harus dialami oleh remaja. Kita sudah sepakat dalam kuliah bahawa remaja harus mencintai Tuhan, Rasul, agama, negara, raja, bangsa, diri sendiri, keluarga, ibu bapa dan lain-lain.

Sila baca penerangan di bawah ini.

Perenggan iii:

A - Remaja
B iii - Harus cinta akan keluarganya
C iii - Akan menjadi warganegara penyayang


Perenggan iv:
A - Remaja
B iv - Harus cinta akan Tuhannya
C iv - Akan hidup dalam keberkatan


Perenggan mudah (Rumus lama)
Remaja harus cinta akan keluarganya. Orang yang cinta akan keluarganya akan menjadi warganegara penyayang. Oleh itu, remaja akan menjadi warganegara penyayang.

Remaja harus cinta akan Tuhannya. Orang yang cinta akan Tuhannya akan hidup dalam keberkatan. Dengan kata lain, remaja akan hidup dalam keberkatan.

+++
Ayat A/B dan B/C ialah AYAT TAJUK/TOPIK (tajuk kepada perenggannya).
Ayat PW, A/C ialah AYAT KESIMPULAN (ia harus menggunakan PW kesimpulan).
+++

Sebelum saya teruskan penerangan, pelajar perlu ingat bahawa REMAJA dan CINTA ialah fokus utama dalam karangan ini. Oleh itu, REMAJA harus kekal dalam bentuk A di setiap perenggan. Manakala, CINTA harus menjadi kata kerja utama dalam predikat B (misalnya CINTA akan keluarganya dan CINTA akan Tuhannya). Unsur C pula seharusnya merupakan 'AKIBAT' atau 'HASIL' percantuman unsur A dan Unsur B (REMAJA + CINTA keluarga = akan menjadi warganegara penyayang) atau (A+B=C).

Rumus pertama mengajar anda untuk mengenal apa unsur A, B dan C. Setelah anda faham unsur A, B dan C, barulah anda boleh menguasai rumus baharu (rumus kedua).

Baiklah, sekarang saya perturunkan perenggan panjang bagi dua perenggan di atas (KELUARGA dan TUHAN).

Rumus baharu: A/B/C. PW, A/C/B.

Di sini, ayat ABC ialah AYAT TAJUK/TOPIK. Manakala ayat PW, ACB ialah ayat kesimpulan.

++++

Remaja mesti mencintai keluarganya kerana jika mereka cinta akan keluarganya, remaja akan menjadi warganegara yang mempunyai sifat penyayang. Oleh itu, remaja akan menjadi warganegara penyayang jika ia cinta akan keluarganya.

Remaja akan hidup dalam keberkatan jika ia cinta akan Tuhannya. Dengan kata lain, kehidupan remaja akan sentiasa diselimuti dengan keberkatan kalau ia memilih untuk cinta akan Tuhannya.

++++

Sekarang, tarik nafas dalam-dalam. Anda sudah dapat lihat A, B, C dan PW dalam dua perenggan ini. Unsur-unsur A, B dan C telah digabungkan dalam satu ayat majmuk. Sekarang anda perlu menambahkan ayat penerang dan ayat contoh.

Bagaimana untuk mendapatkan ayat penerang?
Anda perlu fikirkan ini: Bagaimana unsur C boleh 'keluar' atau kita dapati hasil daripada gabungan unsur A dan B atau melalui contoh di atas, bagaimana 'REMAJA akan menjadi warganegara penyayang' jika 'ia CINTA akan keluarganya'?

Jawapannya:
Jika REMAJA cinta akan keluarganya, remaja akan ada sikap suka bertoleransi dan tidak pentingkan diri sendiri. Sikap ini wujud kerana REMAJA cinta akan keluarganya.

Ayat contoh:
REMAJA jenis ini biasanya akan menolong adik-adiknya untuk mengulang kaji pelajaran walaupun pada ketika yang sama, beliau sendiri menghadapi peperiksaan (bertoleransi dan tidak pentingkan diri sendiri).

Oleh itu, perenggan baharu ialah seperti berikut (jangan lupa tarik nafas dalam-dalam):

++++

Remaja mesti mencintai keluarganya kerana jika mereka cinta akan keluarganya, remaja akan menjadi warganegara yang mempunyai sifat penyayang. Remaja sebegini biasanya dilengkapi dengan sikap mudah bertoleransi dan tidak mudah pentingkan diri sendiri. Sikap dan sifat ini tersemai secara tidak langsung daripada keakraban remaja dengan ahli keluarga mereka di rumah. Buktinya, lihat sahaja remaja yang menjadi anak sulung; mereka biasanya akan menolong adik-adiknya terutama sekali ketika musim peperiksaan walaupun beliau sendiri juga sedang menghadapi peperiksaan. Oleh itu, remaja akan menjadi warganegara penyayang jika ia cinta akan keluarga.

++++

Begitu juga dengan perenggan REMAJA / CINTA akan Tuhannya. Perenggan itu, setelah dibubuh ayat penerang dan ayat contoh, berbunyi seperti berikut:

Remaja akan hidup dalam keberkatan jika ia cinta akan Tuhannya. Remaja yang cinta akan Tuhan ialah mereka yang tidak segan untuk menunaikan rukun Islam yang lima, tidak mempersoalkan rukum iman yang enam dan tanpa ragu meninggalkan segala larangan-Nya. Remaja sebegini, dengan izin Allah selalunya dipermudah segala urusannya. Dengan kata lain, kehidupan remaja akan sentiasa diselimuti dengan keberkatan kalau ia memilih untuk cinta akan Tuhannya.

+++

Saya berikan sekali lagi dua perenggan di atas.


Remaja mesti mencintai keluarganya kerana jika mereka cinta akan keluarganya, remaja akan menjadi warganegara yang mempunyai sifat penyayang. Remaja sebegini biasanya dilengkapi dengan sikap mudah bertoleransi dan tidak mudah pentingkan diri sendiri. Sikap dan sifat ini tersemai secara tidak langsung daripada keakraban remaja dengan ahli keluarga mereka di rumah. Buktinya, lihat sahaja remaja yang menjadi anak sulung; mereka biasanya akan menolong adik-adiknya terutama sekali ketika musim peperiksaan walaupun beliau sendiri juga sedang menghadapi peperiksaan. Oleh itu, remaja akan menjadi warganegara penyayang jika ia cintakan keluarga.

Remaja akan hidup dalam keberkatan jika ia cinta akan Tuhannya. Remaja yang cinta akan Tuhan ialah mereka yang tidak segan untuk menunaikan rukun Islam yang lima, tidak mempersoalkan rukum iman yang enam dan tanpa ragu meninggalkan segala larangan-Nya. Remaja sebegini, dengan izin Allah selalunya dipermudah segala urusannya. Dengan kata lain, kehidupan remaja akan sentiasa diselimuti dengan keberkatan kalau ia memilih untuk cinta akan Tuhannya.


+++

Jika anda baca kedua-dua perenggan ini, anda akan dapat rasa bahawa kedua-dua perenggan ini tidak bersatu dengan baik. Maksudnya, selepas membaca perenggan REMAJA / CINTA akan keluarganya, anda akan berasa janggal membaca perenggan seterusnya. Kenapa? Sebenarnya, ia disebabkan oleh tidak ada 'jambatan' yang menghubungkan kedua-dua perenggan itu, iaitu dari segi idea dan pengaliran.

Baca perenggan-perenggan ini. Ia sudah diubah suai. Ayat yang berhuruf tebal ialah ayat tambahan. Bayangkan perenggan REMAJA / CINTA akan keluarganya sebagai perenggan ketiga daripada sebuah karangan lengkap.


(TARIK NAFAS DALAM-DALAM).

+++++

Selain daripada hal yang dinyatakan dalam perenggan sebelum ini, remaja juga mesti mencintai keluarganya kerana jika mereka cinta akan keluarganya, remaja akan menjadi warganegara yang mempunyai sifat penyayang. Remaja sebegini biasanya dilengkapi dengan sikap mudah bertoleransi dan tidak mudah pentingkan diri sendiri. Sikap dan sifat ini tersemai secara tidak langsung daripada keakraban remaja dengan ahli keluarga mereka di rumah. Buktinya, lihat sahaja remaja yang menjadi anak sulung; mereka biasanya akan menolong adik-adiknya terutama sekali ketika musim peperiksaan walaupun beliau sendiri juga sedang menghadapi peperiksaan. Oleh itu, jelaslah bahawa remaja akan menjadi warganegara penyayang jika ia cinta akan keluarga.

Namun, cinta berikut ini adalah cinta yang paling utama dan tidak ada tolok bandingannya. Setentunya, remaja akan hidup dalam keberkatan jika ia cinta akan Tuhannya. Remaja yang cinta akan Tuhan ialah mereka yang tidak segan untuk menunaikan rukun Islam yang lima, tidak mempersoalkan rukum iman yang enam dan tanpa ragu meninggalkan segala larangan-Nya. Remaja sebegini, dengan izin Allah selalunya dipermudah segala urusannya. Dengan kata lain, kehidupan remaja akan sentiasa diselimuti dengan keberkatan kalau ia memilih untuk cinta akan Tuhannya.

+++
Penambahan unsur yang ditebalkan ini hadir dengan sendirinya jika anda kerap berlatih dan ketika anda cuba memulakan perenggan baharu.

Bagaimana? Anda sudah faham?

+++

Imbas kembali.

1. Anda harus tahu unsur A, B dan C serta PW semasa anda melukis peta minda.

2. Buat dua ayat (ayat tajuk dan ayat kesimpulan) dalam kepala anda.

3. Catatkan bagaimana A+B=C (ayat penerang) pada peta minda.

4. Berikan contoh (pada peta minda).

5. Tulis perenggan dan mulakan setiap perenggan dengan unsur/ayat yang menyambungkan idea daripada perenggan seterusnya.

Terima kasih. Saya doakan kepada pelajar yang rajin membaca blog ini semoga mendapat manfaat daripada entri ini.

5 comments:

Anonymous said...

A B C. PW A C :D

-mizahSet3

Anonymous said...

Cikgu apa kepentingan "Teori Hujah dalam Karangan"?

-Zirah_hz Set2-

Anonymous said...

kepentingannya ialah... :)

-mizahSet3

R said...

A B C.Pw AC

9186/01 said...

kepentingannya: anda tahu bahawa setiap satu perenggan membawa satu hujah (tidak ada pengulangan) dan setelah mengenal dan mempraktikkan rumus ini, anda kan mampu menghasilkan perenggan yang mantap di samping anda tahu bila masanya anda boleh berhenti menulis perenggan tertentu dan membuat perenggan baharu.

Kalau tidak percaya, cuba tulis satu karangan yang perenggan isinya mengandungi ayat-ayat yang saya gunakan di entri kali ini.